kelebihan-membaca-surah-alwaqiah

Kelebihan Membaca Surah Al-Waqiah

Surah Al-Waqiah merupakan surah ke-56 dalam Al-Quran. Surah ini merupakan surah makkiyyah dan mempunyai 96 ayat. Dinamakan Al-Waqiah kerana diambil dari lafaz Al-Waqiah yang terdapat pada ayat pertama surah ini, yang bermaksud kiamat.

Dalam surah Al-Waqiah ini menerangkan tentang hari kiamat, balasan yang diterima oleh orang-orang mukmin dan orang-orang kafir. Diterangkan juga penciptaan manusia, tumbuh-tumbuhan dan api, sebagai bukti kekuasaan Allah SWT dan adanya hari berbangkit.

Surah Al-Waqiah Surah Kekayaan

Surah Al-Waqiah memang terkenal dengan beberapa khasiatnya dan kelebihan tersendiri dan hadis mengenainya adalah sahih.

Menurut perkongsian Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, antara kelebihan surah al-Waqiah adalah seperti yang diceritakan oleh Ibnu Mas’ud RA:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَداً

Maksudnya: Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya

Lihat al-Jamie’ al-Soghir, al-Suyuti (12546)

Imam al-Syaukani di dalam tafsirnya menukilkan sebuah hadis yang dikeluarkan Ibnu Asakir, daripada Ibnu Abbas RA Sabda Nabi SAW:

سورة الواقعة سورة الغنى، فاقرؤوها، وَعَلِّمُوهَا أَوْلَادَكُمْ

Maksudnya: Surah al-Waqiah merupakan surah kekayaan, maka bacalah ia, dan ajarilah ia kepada anak-anak kamu.

(Lihat Fathu al-Qadir li Syaukani, 5/176)

Selain itu, Dr Wahbah Zuhaili menukilkan sebuah hadis yang menceritakan tentang kelebihan surah al-Waqiah dengan menyatakan, daripada Abu Zibah berkata ketika Abdullah bin Mas’ud sedang tenat dan nazak, lalu Saidina Osman bin Affan RA menziarahinya dan bertanya berkenaan peninggalannya kepada anak perempuannya, maka Ibnu Mas’ud berkata:

أتخشى على بناتي الفقر؟ إني أمرت بناتي يقرأن كل ليلة سورة الواقعة، إني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: «من قرأ سورة الواقعة كل ليلة، لم تصبه فاقة أبدا»

Maksudnya: Apakah engkau risau akan putri-putriku menjadi fakir? Sesungguhnya aku telah memerintahkan putriku untuk membaca surah al-Waqiah pada setiap malam. Ini kerana aku telah mendengar Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.”

(Lihat al-Tafsir al-Munir li Zuhaili, 27/240)

Baca Juga: Doa Selepas Membaca Surah Al-Waqiah

Kelebihan Membaca Surah Al-Waqiah

Mereka yang membacanya sebagai wirid, Insya’Allah akan beroleh kesenangan selama-lamanya.

2.  Bila orang membiasakan membaca surah ini setiap malam satu kali, maka dia dijauhkan dari kemiskinan selamanya.

3.  Mereka yang membacanya sebanyak 14 X setiap lepas Solat Asar, Insya’Allah akan dikurniakan dengan kekayaan dan rezeki yang berlimpah ruah.

4.  Jika dibaca surah ini sebanyak 41 X dalam satu majlis, Insya’Allah ditunaikan segala hajatnya khususnya yang berkaitan dengan rezeki.

5.  Menjadi orang kaya yang sentiasa bersyukur, amalkan membaca surah ini sebanyak 3 X selepas Solat Subuh dan 3 X selepas Solat Isyak. Insya’Allah tidak akan berlalu masa setahun itu melainkan ia akan dijadikan seorang yang hartawan lagi dermawan.

6.  Amalan orang-orang sufi, supaya dilimpahkan rezeki; Insya’Allah berhasil:

  • Hendaklah berpuasa selama seminggu bermula pada hari Jumaat.
  • Selepas tiap solat fardhu bacalah Surah Al-Waqiah sebanyak 25 kali sehinggalah sampai pada malam Jumaat berikutnya.
  • Pada malam Jumaat berikutnya, selepas solat Maghrib bacalah Surah Al-Waqiah sebanyak 25 kali dan selepas solat Isyak sebanyak 125 kali.
  • Diikuti dengan selawat ke atas Nabi sebanyak 1000 kali.
  • Setelah selesai, hendaklah ia memperbanyakkan sedekah.
  • Kemudian amalkanlah Surah Al-Waqiah ini sekali pada waktu pagi dan petang.

7.  Selepas solat Isyak, ambillah segelas air lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursisekali dan Surah Al-Waqi’ah, ayat 35-38 sebanyak 7 X. Tiup dalam air dan minum. Dalam hati, niat untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan rumahtangga kita.

Makna Surah Al-Waqi’ah Ayat 35-38 ialah : “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan umurnya.”

8.  Surah Al-Waqiah ini jika dibaca di sisi mayat atau orang yang sedang nazak, Insya’Allah di permudahkan untuk roh keluar dari jasadnya. Jika dibaca disisi orang sakit, diringankan kesakitannya. Jika di tulis, kemudian dipakaikan kepada orang yang hendak bersalin, Insya’Allah segera melahirkan dengan mudah. Boleh juga dibaca di sisi orang yang hendak bersalin sebagai selusuh.

Kesimpulan

Secara umumnya, kita juga amat dianjurkan membaca al-Quran untuk mendapat syafaat daripadanya dan ikhlas dalam beramal serta mencari keredhaan Allah SWT di dunia dan juga di akhirat.

Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah RA, Sabda Nabi SAW:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya”

One Reply to “Kelebihan Membaca Surah Al-Waqiah”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge