Nurul Izzah Kena Letak Jawatan
Selepas pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) mengenai perlantikan Nurul Izzah memegang jawatan Penasihat Kanan Ekonomi Dan Kewangan, satu petisyen telah diwujudkan sebagai tanda tidak setuju.
Ramai telah mengecam termasuk ahli akademik dan penganalisis politik tentang pelantikan tersebut.
DSAI telah mempertahankan lantikan tersebut atas dasar “Izzah berkelayakan” dan ia adalah jawatan “tanpa gaji”.
Keputusan DSAI juga bertentangan dengan desakannya sebelum ini mengenai urus tadbir baik yang menghalang amalan nepotisme.
Bergaji atau tidak, layak atau tidak, nepotisme tetap nepotisme.
Apa Itu Nepotisme ?
Maksud Nepotisme – melebihkan atau mengutamakan saudara-mara serta rakan-rakan yang ada hubungan dan bukannya penilaian objektif bagi keupayaan, meritokrasi atau kekesuaian terhadap pelantikan sesuatu jawatan. Perkataan nepotisme berasal daripada perkataan Latin nepos, yang bermaksud anak saudara atau cucu- Wikipedia.
Sebuah badan pemikir senada dengan kritikan terhadap pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, serta mempersoalkan kelayakannya bagi jawatan itu.
Nurul Izzah Berkelayakan Dalam Bidang Kejuruteraan
Dalam kenyataan, Pusat Pendidikan Pasaran (CME) menegaskan Nurul Izzah, naib presiden PKR, mungkin berkelayakan dalam bidang kejuruteraan dan hubungan antarabangsa, tetapi ia tidak penting.
“Beliau tidak mempunyai sebarang latar belakang khusus dalam bidang ekonomi atau kewangan. Walaupun ini tidak diperlukan untuk peranan politik utama seperti menteri atau timbalan menteri, ia harus diwajibkan bagi penasihat dan pegawai kanan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CME Carmelo Ferlito.
Semalam, Nurul Izzah menjelaskan beliau tidak akan diberi gaji sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan, tetapi Ferlito berkata itu bukan isunya.
Gaji Bukanlah Harga Sebenar Politik
“Harga sebenar politik yang dibayar oleh rakyat bukanlah gaji, tetapi akibat daripada dasar yang tidak baik.
Walaupun berpandukan niat yang baik, dasar yang tidak baik boleh merosakkan sesebuah negara. Kita telah melihatnya dengan harga siling atau larangan terhadap pekerja asing.
Ferlito memberi amaran Malaysia tidak mempunyai banyak masa lagi untuk menyelesaikan isu struktur dalam ekonomi memandangkan cabaran bakal dihadapi negara.
DSAI mempertahankan pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan, sambil berkata ia dilakukan berdasarkan kelayakan dimilikinya.
DSAI turut berkata, Nurul Izzah mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat (AS).
Penganalisis mengkritik langkah itu, dengan berkata pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu “berbau” nepotisme dan akan menarik perhatian yang tidak sepatutnya kepada kerajaan perpaduan apabila ia masih berusaha mengukuhkan kedudukannya.