Sah Haram Guna Android Box
Hukum menggunakan peranti ‘Android Box’ dengan tujuan mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah adalam haram kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan perkara itu berikutan terdapat pengguna peranti tersebut mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya yang seterusnya menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.
Penggunaan Android Box Harus, Namun Boleh Menjadi Haram
Pada asalnya pembelian ‘Android Box’ adalah harus, namun ia boleh menjadi haram jika tujuan pembelian dan penggunaan peranti tersebut adalah untuk mengakses siaran berbayar cara yang salah.
“Justeru, permasalahan ini adalah sama mengambil hak orang lain dengan cara yang batil dan menzalimi syarikat penyiaran serta pihak-pihak berkaitan dengannya. Perbuatan ini juga telah dilarang oleh Allah SWT.
“Permasalahan ini juga berkait rapat dengan hak cipta dan lesen penyiaran. Hak cipta, penyiaran dan seumpama dengannya adalah merupakan hak yang diiktiraf syarak,” dalam hantarannya di portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Ujarnya, seseorang tidak boleh mencerobohi hak tersebut atau menggunakannya dengan cara salah seperti mencetak tanpa kebenaran, menggodam atau menggunakannya tanpa membayar atau melanggannya.
“Adapun bagi perbuatan membeli dengan tujuan untuk menonton siaran percuma atau fungsi-fungsi lain yang tidak melibatkan hak pihak lain dan mencerobohi hak-hak mereka, maka pembelian atau penggunaannya adalah diharuskan syarak sekiranya menepati syarat dan rukun jual beli,” tambahnya.
‘Android Box’ adalah alat atau peranti untuk membolehkan televisyen mendapat siaran-siaran dari seluruh dunia.
Peranti tersebut membolehkan televisyen menyiarkan perkhidmatan siaran strim lain yang biasanya hanya boleh diakses melalui komputer, telefon dan peranti pintar serta aplikasi.
Terdapat dua bentuk siaran yang akan diperoleh melalui penggunaan peranti tersebut iaitu siaran berbayar dan siaran percuma.
Justeru, tidak timbul sebarang isu syariah bagi kategori siaran percuma kerana ia boleh digunakan oleh semua orang.
Namun begitu, timbul isu syariah bagi kategori siaran berbayar yang sepatutnya pengguna bayar terlebih dahulu untuk mendapat akses siaran tersebut.
Kredit: AlHijrah Online.
Kesimpulan
Jadi, sah lah yang dikatakan haram guna android box sekiranya anda mengakses siaran yang berbayar secara salah (dibaca: HACK).