banjir pantai timur

Sebab Dan Faktor Punca Banjir Besar Di Pantai Timur

Banjir di Pantai Timur lazimnya dikaitkan dengan dua fenomena iaitu banjir sungai dan banjir kilat.

Banjir sungai terjadi apabila hujan lebat yang berlaku di kawasan hulu menyebabkan alur sungai tidak mampu menyalurkan kuantiti air yang banyak ke laut. 

Kesannya, air sungai naik dengan pantas, melimpah sepanjang tebing dan membanjiri kawasan rendah atau didefinisikan sebagai dataran banjir.

Bencana banjir dahsyat dan luar biasa yang melanda Pantai Timur pada akhir tahun 2014 dan berlarutan sehingga awal tahun 2015 dikatakan yang terburuk dalam tempoh 1,000 hingga 5,000 tahun dengan Kelantan paling teruk terjejas, selain beberapa daerah di Pahang dan Terengganu.

Selain kemusnahan harta benda yang besar, banjir tersebut turut meninggalkan kesan tragik kepada beberapa keluarga mangsa banjir yang kehilangan anggota keluarga.

Kajian pasukan forensik banjir diketuai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Datuk Ibrahim Komoo, yang pakar dalam bidang geobencana, menemui dua faktor luar biasa yang mengakibatkan kemusnahan besar akibat banjir pada tahun tersebut.

Hujan lebat yang ekstrim, arus deras, kandungan bahan keladak yang banyak dalam sungai dan masalah hakisan teruk adalah punca banjir pada masa itu mengakibatkan kemusnahan tinggi sehingga ada yang mengaitkannya sebagai tsunami kecil.

Disebabkan Kelantan adalah negeri paling teruk terjejas, fokus kajian pasukan pada masa itu tertumpu di Sungai Galas dan Lebir, selain lokasi paling teruk dilanda banjir iaitu Kuala Krai, Dabong dan Manik Urai Lama bagi melihat kesan selepas banjir.

Kajian turut dilakukan di kawasan lain seperti Sungai Pahang, Kemaman dan beberapa tempat lagi yang turut dilanda banjir.

Pasukan itu berpendapat aktiviti pembersihan sama ada untuk pertanian atau pembalakan di kawasan hulu sungai menyebabkan kadar hakisan tanah meningkat ratusan kali ganda dan setiap kali musim hujan, kelodak serta pasir diangkut sama sehingga menyebabkan mendapan di dasar sungai.

Longgokan pasir dan lumpur itu menyebabkan sungai menjadi cetek dan ia diburukkan lagi apabila hujan lebat berpanjangan, ada kejadian tanah runtuh di sepanjang jalan, lereng bukit serta di kawasan hulu sungai.

Proses ini akan membawa tanah, batuan dan serpihan lain seperti tumbuhan serta kayu masuk ke anak sungai dari arah tebing sungai.

Ketika paras air meningkat, kuantiti serpihan sangat banyak berupaya menghakis tebing dan meningkatkan lagi jumlah lumpur dan tumbuhan yang terapung, sekali gus menyebabkan kemusnahan besar banjir kali ini.

Justeru, hakisan tebing dan kuantiti serpihan atau beban adalah dua faktor luar biasa yang menyumbang kepada bencana besar kali ini.

Sebahagian besar kawasan rendah sepanjang pantai Terengganu terbentuk daripada beberapa siri permatang pasir (dikenali sebagai gong) selari dengan pantai.

Di antara permatang pasir ini, terbentuk lekukan (mengabang) iaitu kawasan yang bertopografi beberapa meter lebih rendah daripada gong, manakala kawasan mengabang adalah tempat terkumpulnya air ketika musim tengkujuh.

Selagi paras air tanah berada beberapa meter di bawah permukaan, air hujan boleh terus meresap ke dalam tanah dan disalurkan dengan pantas ke kawasan mengabang.

Namun, apabila hujan beberapa hari tanpa henti, pasir menjadi tepu dan paras air tanah naik sehingga ke permukaan.

Langkah Untuk Elak Banjir Besar

Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, banyak langkah perlu diambil seperti membina empangan tebatan di kawasan hulu sungai bagi menampung air hujan.

Kita dapati tidak ada empangan tebatan di Kelantan yang dapat menampung sementara air hujan yang banyak menyebabkan banjir teruk dan perkara ini tidak berlaku di Kuala Terengganu kerana negeri ini mempunyai empangan besar. Namun, sekiranya taburan hujan terlalu banyak daripada biasa, banjir besar akan melanda daerah-daerah di Terenggany seperti yang berlalu pada tahun ini.

Kepentingan untuk membina ‘monsoon drain’ (Longkang Monsun) juga perlu diberi perhatian.

Projek tebatan banjir perlu bagi mengurangkan risiko banjir kilat atau banjir yang lebih buruk yang sering berlaku. secara relatifnya isu banjir di Kuala Terengganu tidak seteruk seperti daerah lain tetapi perkata tersebut perlu diatasi dan cari jalan penyelesaian. Ada kawasan tertentu masih lagi perlukan saliran untuk dialihkan air ini.

Setiap daerah juga perlu mempunyai ‘peta banjir’ sebagai asas kepada perancangan guna tanah. Peta banjir mengandungi maklumat kawasan banjir, kedalaman maksimum, arah dan kelajuan aliran serta lama masa beberapa peristiwa banjir boleh memberikan maklumat penting untuk perancangan pembangunan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge