PENJANA

Sukuk Prihatin, Sukuk Digital Pertama Malaysia. Dah Boleh Memohon Di JomPay Dan DuitNow.

SUKUK Prihatin patuh syariah bernilai RM500 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) telah dilancarkan dan juga merupakan sukuk digital pertama Malaysia.

Sukuk Prihatin telah dilancarkan di Kementerian Kewangan di Putrajaya disaksikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada minggu lepas.

Sukuk adalah satu sijil kewangan Islam yang mengambil konsep sama seperti bon dalam kewangan Barat. Sukuk yang dikeluarkan perlu mematuhi undang-undang agama Islam yang dikenali sebagai Syariah.

Apa Itu Sukuk Prihatin?

Sukuk Prihatin adalah satu produk pelaburan (dalam bentuk sekuriti pendapatan tetap) yang ditawarkan hanya kepada rakyat Malaysia (pelabur runcit), syarikat/firma (pelabur korporat) yang diperbadankan di Malaysia dan pemegang amanah berdaftar (untuk pemegang yang layak sahaja), koperasi, yayasan, pemilik tunggal, perkongsian, persatuan atau organisasi perbadanan lain yang beroperasi di Malaysia.

Sukuk dengan amaun langganan minimum berjumlah RM500 sahaja menawarkan kadar keuntungan sebanyak 2.0% setahun, dibayar setiap sukuan tahunan dari tarikh terbitan bagi sepanjang tempoh 2 tahun.

Buat julung kalinya, Sukuk ini boleh dilanggan di saluran perbankan digital (internet/mudah alih) di semua Bank Agihan melalui aplikasi JomPAY atau DuitNow.

Sukuk Prihatin merupakan salah satu medium untuk Rakyat bersatu-padu dan bersama-sama menyokong pelan pemulihan ekonomi negara melalui instrumen sekuriti patuh Syariah yang diterbitkan oleh Kerajaan.

Dalam tempoh matang 2 tahun, pemegang sukuk boleh memilih untuk menderma prinsipal. Mereka akan diberikan potongan cukai untuk tempoh tertentu.

Hasil terbitan Sukuk Prihatin akan disalurkan kepada beberapa inisiatif yang telah dikenal pasti termasuk usaha meningkatkan kesalinghubungan kepada sekolah-sekolah luar bandar, menampung geran penyelidikan penyakit-penyakit berjangkit di samping membiayai perusahaan kecil dan sederhana serta mikro terutama usahawan wanita.

Terimaan Sukuk ini akan disalurkan ke Kumpulan Wang COVID-19 untuk membiayai langkah yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi dan pelan pemulihan bagi menangani krisis COVID-19.

Contoh inisiatif adalah seperti yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi dan pelan pemulihan pasca COVID-19 termasuk, tetapi tidak terhad kepada berikut: –

a) Perbelanjaan kesihatan yang berkaitan dengan penyakit COVID-19;
b) Pembiayaan/geran kepada perusahaan mikro; dan
c) Meningkatkan kesalinghubungan sekolah di luar bandar, sekali gus berfungsi sebagai hab yang menghubungkan kampung berhampiran.

Cara Memohon Sukuk Prihatin

#1 Dapatkan maklumat mengenai Sukuk Prihatin daripada laman sesawang PENJANA (penjana.treasury.gov.my.) dan laman sesawang Bank Agihan masing-masing.

#2 Sebelum memohon Sukuk Prihatin, sila baca Terma & Syarat serta Pek Maklumat dengan teliti.

#3 Mohon melalui perbankan Internet.

  • Melalui JomPay
  • Melalui DuitNow

Rujuk cara memohon Sukuk Prihatin dengan lebih lanjut di : https://penjana.treasury.gov.my/pdf/gom-sukuk-prihatin-pek-maklumat.pdf

Malaysia Adalah Pengeluar Sukuk Terbesar Dunia

Untuk makluman, negara kita merupakan pengeluar Sukuk terbesar dunia. Malaysia menguasai hampir separuh daripada pasaran Sukuk dunia pada tahun 2016.

Sumber: Capital Markets Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge