Amalan Yang Boleh Dilakukan Pada Hari Jumaat
Umum ketahui dan sedang kita hadapi pada tahun ini, solat Jumaat hanya dibenarkan dalam bilangan jemaah yang kecil dan sesetengah masjid ditiadakan solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP/PKPB) demi memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19. Walaubagaimana, ianya perlu digantikan dengan solat Zuhur.
Ada yang mengeluh satu nikmat untuk jana pahala pada hari Jumaat telah hilang. Namun ketahuilah ada banyak amalan lain yang afdal/sunat dilakukan
1# Baca surah Al-Kahfi
Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang membaca Surah al-Kahfi pada malam Jumaat, dia akan disinari cahaya antara dia dan Kaabah.” (Riwayat al-Darimi)
Dalam sebuah lagi hadis, baginda SAW bersabda: “Barang siapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (Riwayat al-Baihaqi)
Banyak manfaat membaca surah Al-Kahfi bermula malam Jumaat. Tips mudah baca al-Kahfi yang kami kongsikan sebelum ini boleh dijadikan panduan untuk amalan bersama keluarga.
2# Baca Surah al-Sajadah dan Surah al-Insan
Dianjurkan untuk kita membacanya ketika solat Subuh pada hari Jumaat.
Ia sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Beliau berkata:
“Nabi Muhammad SAW biasa membaca pada solat Subuh pada hari Jumaat ‘Alam Tanzil…’ (Surah al-Sajadah) pada rakaat pertama dan ‘Hal ataa ‘alal insani hinum minad dahri lam yakun syai-am madzkuro’ (Surah al-Insan) pada rakaat kedua.” (Riwayat Muslim)
3# Mandi Sunat Jumaat, Potong Kuku
Masyarakat kita begitu sinonim dengan perkara ini. Antara perkara lazim yang sering kita lakukan adalah memotong kuku.
Imam Nawawi menyatakan:
“Imam Syafie dan para ulama Mazhab Syafi’iyyah menegaskan, dianjurkan memotong kuku dan mencukur rambut-rambut di badan (kumis dan bulu kemaluan) pada hari Jumaat.” (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 1:287)
Bagaimanapun, dalam perihal memotong kuku, tiada hari-hari tertentu ditetapkan dengan kaifiat tertentu. Ini kerana tiada nas yang jelas tentang perkara itu menurut pandangan Imam al-Sakhawi dan selainnya.
4# Perbanyakkan Selawat Ke Atas Rasulullah SWT
Setiapkali khutbah Jumaat, khatib akan mengingatkan para jemaah untuk berselawat ke atas Rasulullah kerana terdapat kelebihan berselawat dan juga salah satu tanda kecintaan kita kepadanya.
Rasulullah s.a.w bersabda,
“Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali).” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)
5# Sedekah
Sedekah antara amalan sunat yang dituntut dalam Islam
Manisnya bersedekah bila dapat menyucikan harta kita. Ajaibnya bersedekah bila kita tidak akan jatuh miskin dengan bersedekah.
Dalam al-Quran, Allah S.W.T menuntut kita membelanjakan harta dan rezeki yang diperoleh sebaiknya.
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).” (Surah al-Baqarah ayat 215)
#6 Solat Sunat qabliah & ba’diah Zuhur
Sebelum menunaikan solat Zuhur, bolehlah kita dahulukan dengan solat sunat qabliah. Usai solat fardu Zuhur, sudahinya dengan solat sunat ba’diah.
Bahkan, perkara itu seringkali dilazimi oleh Rasulullah SAW.
Daripada Aisyah RA, beliau menyatakan: “Nabi Muhammad SAW biasa melakukan solat qabliah Zuhur empat rakaat di rumahnya. Kemudian baginda keluar, lalu solat mengimami orang-orang, lalu masuk ke rumahku, kemudian melakukan solat dua rakaat ba’diah…” (Riwayat Muslim)
7# Perbanyakkan Solat Sunat
Selain solat fardu yang diwajibkan, kita digalakkan untuk menunaikan solat-solat sunat seperti solat Dhuha dan solat sunat Rawatib.
Digalakkan juga untuk bangun sepertiga malam untuk menunaikan solat sunat tahajud dan lain-lain bagi menambahkan amalan sebagai tanda kwtakwaan kita kepada Allah S.WT.
Sangat rugi jika kita tidak mengambil kelebihan ini untuk kita perbanyakkan amalan semasa hari Jumaat.
Jangan disebabkan terlalu sibuk dengan pekerjaan, kita terlupa dan terlepas untuk memperbanyak beribadah.
2 Replies to “Amalan Yang Boleh Dilakukan Pada Hari Jumaat”