Anak Muda Yang Bekerja Dengan Kerajaan Luar Ini Berkongsi Cara Nak Geng Dengan Orang Jepun
Kami tertarik dengan satu perkongsian di Facebook tentang cara bergaul dengan masyarakat Jepun oleh anak jati Kelantan yang kini sedang berkhidmat dengan kerajaan Jepun.
En. Syairir Malek, berasal dari Jeli, Kelantan telah menyambung pelajaran ke Jepun pada tahun 2002 seterusnya ditawarkan berkhidmat dengan pihak kerajaan tempatan di Echizen Town, sebuah bandar di Fukui Prefecture yang terletak 400KM di barat Tokyo.
Dengan izin beliau, kami kongsikan di bawah ini muatnaik status beliau dalam loghat Kelate.
Sukar diterima dalam masyarakat Jepun.
Antara kejutan budaya atau aspek sukar budaya Jepun yang ambo biasa dengar adalah betapa susahnya nak diterima sebagai sebahagian dari masyarakat di Jepun.
Kiranya, susahlah jugak nak diterima jadi geng sekaki kat Jepun ni.
Konsep yg biasa diperkenalkan adalah “Uchi” dan “Soto”. Uchi bermaksud dalam dan Soto bermaksud luar.
Konsep Uchi dan Soto
Secara mudahnya, Uchi ni bila dah jadi geng dan Soto ni pula orang yang kena pulau sorang-sorang kat hujung kampung tu.
Disebabkan rata-rata banyak kongsi cerita betapa susahnya orang asing nak jadi Uchi (geng) kerana orang Jepun nih rasis dan susah nak terima orang asing, ambo nak kongsikan, BAGAIMANA NAK JADI UCHI, WALAUPUN KITA BERBEZA DARI ORANG JEPUN?
Harapnya dapatlah membantu sedikit-sebanyak sesiapa yang mengalami kesulitan hidup dalam masyarakat Jepun sekarang.
Apa Sebenarnya ‘Uchi’ Ni?
Biasanya kalau baca di internet, Uchi akan dianggap sebagai semua orang Jepun dan Soto adalah Gaijin (orang asing) yang tak diterima. Tapi ambo rasa ini secebis sahaja dari cerita yang sedikit kompleks.
Biar ambo terangkan.
Uchi bukannya kewarganegaraan, warna kulit, bahasa atau agama tetapi adalah kategori bagi sekumpulan individu yg memahami dan mengamalkan norma sosial yang dipraktikan dan dipersetujui secara umum oleh kumpulan tersebut.
Bermakna, asal sahaja anda boleh memahami dan mempraktikan normal sosial kumpulan tersebut, biasanya anda juga akan diterima sebagai Uchi.
Cuma kerana kewarganegaraan, warna kulit, bahasa atau agama juga melibatkan aspek sosialnya yg tersendiri, maka ia juga boleh dijadikan asas untuk kriteria Uchi atau Soto. Ni yang sebab jadi susah sikit tuuuu.
Sebagai contoh, sama-sama orang Jepun sendiri pun ada geng-geng Uchi dan Soto mereka. Geng-geng Otaku hanya akan mengiktiraf Otaku lain sebagai Uchi.
Dalam geng Uchi Otaku pula ada geng peminat Idol, geng peminat anime, geng peminat hentai bagai.
Kecenderungan Yang Sama
Mereka ni pula hanya menerima individu yang mempunyai kecenderungan yang sama sahaja sebagai Uchi. Geng Idol tak kira Geng Anime sebagai Uchi, walaupun sama-sama Otaku. Lain minatnya, maka dikira Soto juga.
Kerana norma sosial yang perlu difahami dan diamalkan oleh Geng Idol dan Geng Anime adalah berbeza.
Orang Negeri Sembilan Seorang, Tinggal Serumah Dengan 7 Orang Dari Kelantan
Contohnya, orang Negeri Sembilan seorang duduk serumah dengan 7 orang Kelantan. Sama-sama orang Malaysia pun akan terasa tak masuk geng. Bukan sebab orang Kelantan ini rasis, yelah orang yang hati suci murni macam ambo nak rasis kat mana?
Tapi ini adalah kerana geng Kelantan ada norma sosialnya gengnya sendiri. Asal reti kecek Klate, pah tuh bubuh gulo dale budu, jaddi sek kito slaluh!
Panjanglah sangat pulak ceritanya. Jadi ambo sambung esok-esok jelah pula. Takut ada yang suruh ambo lukis pulak lepas ni. Dibahagian kedua ambo explain PERANAN PEMIKIRAN UCHI DAN SOTO DLM KEHIDUPAN dan MACAM MANA NAK JOIN UCHI nanti. Sabar je sikit lagi.
Ok. Ambo nak sambung cerita semalam, yang mana ambo terangkan apa itu Uchi dan Soto.
Peranan Uchi dan Soto di dalam kehidupan masyarakat Jepun
Hari ni ambo cerita pulak apakah peranan Uchi dan Soto ni di dalam kehidupan masyarakat Jepun?
Secara ringkasnya, idea Uchi dan Soto digunakan untuk melancarkan kehidupan harian dengan memudahkan interaksi sosial.
Maksud ambo macam ni. Masyarakat Jepun, seperti yg diketahui umum adalah masyarakat yang sangat rigid dlm norma hubungan sosialnya.
Setiap orang perlu faham kedudukan mereka dalam hierarki (tinggi rendah) dan posisi (kiri kanan) mereka dalam setiap situasi supaya norma sosial seperti pengunaan perkataan yang sesuai, tempat duduk yang betul, body language dsb boleh dipatuhi dan anda tidak akan menimbulkan kemarahan atau ketidakpuasan hati orang lain.
Dengan mengasingkan individu kepada Uchi dan Soto, penilaian hierarki dan posisi situasi sosial dipermudahkan. Iyalah, takkanlah nak tanya setiap orang yang ditemui, komposisi keluarga, kerja (jawatan di tempat kerja), kenalan yang boleh bagai rujukan bagai untuk mengetahui hierarki dan posisi mereka.
Jadi semua dimasukkan dalam kategori Soto untuk mempermudahkan interaksi. Bila berhadapan dengan orang luar (Soto), sifirnya rendahkan diri dan beradap sesopan yang anda mampu.
Inilah wajah orang Jepun yang senyum lebar, lantang menyebut “terima kasih” walaupun dimaki pelanggan.
*Bagi yang dah lama di Jepun, anda akan perasan bahawa inilah Tatemae.
Bila di antara sama geng Uchi, hierarki sosial dan kesopanan akan menjadi lebih rileks, dimana kesilapan yang dilakukan, biasanya akan dimaafkan dan perhubungan yang lebih telus dan jujur digalakkan.
Inilah wajah orang Jepun yang akan menyumpah seranah sesama mereka, bila pelanggan yang menengking tadi berlalu pergi.
*Bagi yang dah lama di Jepun, anda akan perasan bahawa inilah Honne.
Orang Malaysia Lebih Selesa Bersama Dengan Orang Malaysia
Tapi fenomena ini bukan hanya terhad kepada orang Jepun sahaja. Inilah juga sebab kenapa orang Malaysia akan merasa lebih selesa bila bersama orang Malaysia lain di Jepun. Kerana orang Malaysia lain memahami dan mengamalkan norma sosial yang dipersetujui anda.
Tiada orang akan tengok pelik kalau anda berhijab, tiada yang komplen bila anda berwudhu dan mula sembahyang, tiada orang kata durian bau busuk (kalau ada, jentik telinga je!) dan sebagainya.
Bila bersama-sama orang Malaysia, norma Masyarakat Malaysia yang anda fahami dipatuhi dan dipraktikan bersama.
Dalam situasi ini, orang Malaysia lain akan anda anggap sebagai “Uchi” dan orang Jepun pula akan anda anggap sebagai “Soto”.
Walaupun norma masyarakat Malaysia tidak memerlukan idea seumpama Uchi dan Soto dizahirkan dalam perkataan khasnya yang tersendiri seperti Bahasa Jepun, tetapi sedar tak sedar, anda lakukan juga.
Nama pun manusia. Buat apa pening-pening nak bersama orang yang tak sekepala, sedangkan peminat Sano Hinako, ramai juga.
FB: Syairir Malek
Kami perasan, masyarakat Jepun dan Malaysia ada persamaan dalam pergaulan. Memang makan masa untuk seorang anak muda Nismilan nak diterima dalam geng 7 anak muda Kelate kan? Setuju?