hukum-bersetubuh-di-bulan-puasa

Hukum Bersetubuh Di Siang Hari Bulan Ramadhan? Ramai Suami Isteri Masih Keliru.

hukum bersetubuh siang hari di bulan puasa

Antara persoalan yang sering diajukan berkenaan puasa adalah hukum-hakam yang berkaitan dengan perhubungan di antara suami dan isteri di siang hari bulan Ramadhan.

Soalan #1 

Suami isteri berjimak semasa waktu azan subuh dibulan puasa dan kemudian mandi wajib bolehkah mereka berpuasa, sedang apa yang saya tahu masa waktu imsak kita dikehendaki berhenti makan dan membuat perkara membatalkan puasa juga selepas azan subuh maksudnya puasa itu bermula?

Jawapan #1

Apabila seseorang menyangka bahawa fajar akan terbit lambat lagi, lalu bersetubuh. Kemudian dalam bersetubuh itu fajarpun keluar atau terdengar suara azan, maka wajiblah ia menghentikan persetubuhan itu dengan segera (serta merta) tidak boleh diteruskan lagi. Jika ia meneruskannya bererti ia telah merosakkan puasanya dengan bersetubuh yang disengajakan. Demikian pulalah dengan orang yang minum dan makan pada waktu itu.

Jika persetubuhan itu diteruskan walaupun telah terdengar suara azan, maka hendaklah membayar kaffarah. Pertama memerdekakan hamba, jika tidak ada atau tidak mampu, dengan berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak sanggup iaitu dengan memberi makan 60 orang miskin.

Hukum Bercumbuan Dan Bermesraan Semasa Berpuasa

Kata Saidatuna Ummul Mukminin A’isyah R.anha:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ إِحْدَى نِسَائِهِ وَهُوَ صَائِمٌ

Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu mencium salah seorang dari isteri baginda dalam keadaan baginda sedang berpuasa.

Riwayat Muslim (1106)

Di dalam riwayat yang lain, Saidatuna A’isyah R.anha mengatakan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ وَهُوَ صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كَانَ أَمْلَكَ لإِرْبِهِ

Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu mencium dalam keadaan berpuasa dan baginda juga bermesra-mesraan dalam keadaan berpuasa akan tetapi baginda yang paling memiliki anggotanya (menahan nafsu).

Riwayat Abu Daud (2382)

Berdasarkan kedua-dua hadis yang sahih di atas, dapatlah kita ketahui bahawasanya baginda Rasulullah S.A.W juga mencium dan bermesraan dengan isteri baginda.  

Manakala pendapat dalam mazhab al-Imam al-Syafie adalah sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi berikut:

Kami telah nyatakan bahawa mazhab kami adalah makruhnya ia (bercumbuan dan bermesraan) bagi sesiapa yang kuat syahwatnya (teransang). Manakala tidak dimakruhkan bagi selainnya (yang mampu kawal nafsu) dan yang utamanya perbuatan ini ditinggalkan. Sekiranya seseorang yang kuat nafsunya mencium dan tidak keluar air mani maka puasanya tidak batal.

Kata Imam Ibn al-Munzir: (Di antara) yang memberikan kerukhsahan (kelonggaran) dalam mencium ini adalah Umar, Ibn Abbas, Abu Hurairah, A’isyah, Atha’, al-Sya’bi, al-Hasan, Ahmad, serta Ishak. Manakala Sa’ad Ibn Abi Waqqas menganggap tiada masalah untuk bermesraan dengan isteri (semasa berpuasa). Ibn Umar pula melarang hal tersebut. Lihat al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (6/355).

Seperkara yang perlu kami nyatakan, sekiranya seseorang itu bermesra-mesraan dengan isterinya pada bahagian selain faraj lalu terkeluar maninya, ataupun dia bercumbuan dan keluar air mani maka batallah puasanya. Sekiranya tidak keluar mani maka puasanya tidak batal.

Soalan #2

Setahun awal perkahwinan saya berjauhan dengan suami kerana masih belajar. Kami berjumpa di hari cuti sahaja. Dalam tempoh setahun itu iaitu di bulan ramadhan pada tahun 2012, saya pulang ke rumah suami. Kami telah terlanjur di siang hari di bulan ramadahn untuk sehari.

Untuk pengetahuan ustaz, suami saya langsung tidak tahu akan hukum dan akibat perbuatan tersebut. Dia cuma ingat batal puasa dan qadha puasa sahaja. Pada awalnya suami saya tiada niat untuk bersetubuh tetapi hanya niat “ringan -ringan” (cumbu, peluk dll)sahaja. Ketika itu saya bermusafir tetapi suami tidak. ketika ringan ringan tu suami terpancut keluar air mani..saya mengaku salah saya kerana saya tahu hukum bersetubuh di siang hari tetapi tidak menjelaskan hukum tersebut kepada suami malah saya menggalakkanya untuk meneruskan niat bersama kerana saya sendiri menginginkannya ketika itu. Jadi ketika itu tanpa sengaja suami saya keluar air mani ketika ringan ringan bersama saya.

Selepas itu saya minta dia teruskan bersama sebab dia dah batal puasa. Sebelum dia bersama saya dia telah membatalkan puasanya dengan minum air terlebih dahulu sebab dia ingatkan ketika keluar air mani tanpa sengaja tadi puasanya terbatal.

Jadi timbul permasalahan di sini ustaz iaitu:

  • hukum suami saya bersetubuh di siang hari di bulan ramadhan tanpa mengetahui langsung akibat perbuatan tersebut?

-saya telah qadha puasa itu dan taubat nasuha..

  • dia telah membatalkan puasanya dengan minum air sebelum bersetubuh.
  • dia keluar air mani walaupun tidak bersama ketika adegan ringan.
  • suami isteri yang berjauhan dan terlanjur di bulan ramadhan.
  • hukum ke atas suami kerana 6 tahun sudah berlalu. Tidak qodo puasa apa lagi kerana masih tidak memgetahui kifarah yg perlu dia tanggung.

Bila saya terangkan kifarah yg perlu dia tanggung dia sangat terkejut. Sebab dia jahil dalam hukum perbuatan tersebut. Dia sendiri cakap sekiranya dia tahu akan hukum tersebut dia tidak akan meneruskan niat untuk bersama. Mohon pencerahan mengenai kifarah yang perlu suami saya tanggung akibat kejahilannya ketika itu.

Jawapan #2

Perlu dingatkan bahawa membatalkan puasa Ramadhan dengan sengaja adalah berdosa, sama ada dengan makan, minum atau bersetubuh.

Orang yang melakukannya telah melakukan dua dosa; pertama, dosa membatalkan puasa Ramadhan dengan sengaja dan kedua, dosa melakukan helah (tipu daya) untuk menghalalkan larangan Allah pada bulan ramadhan.

Persetubuhan yang mewajibkan kaffarah ialah persetubuhan yang berlaku ketika masih berpuasa Ramadhan (yakni puasanya dibatalkan dengan persetubuhan). Adapun persetubuhan yang berlaku setelah puasa batal, maka tidak wajib kaffarah.

Kaffarah Puasa Ramadhan Yang dibatalkan

Sebab wajib kaffarah

Wajib kaffarah adalah disebabkan sengaja membatalkan puasa ramadhan dengan melakukan persetubuhan dengan syarat dia menyedari bahawa dirinya berpuasa, mengetahui perbuatannya itu haram, dan bukan dalam bermusafir yang diberikan keringanan. 

Justeru, mereka yang tersebut, sama ada disebabkan terlupa dirinya sedang berpuasa ramadhan, jahil tentang haramnya, membatalkan puasa selain puasa ramadhan dengannya, sengaja membatalkan puasa ramadhan dengan selain persetubuhan atau dalam musafir yang diharuskan berbuka lalu dia melakukan persetubuhan, dalam semua keadaan tersebut dia wajib qhada’ sahaja tanpa kaffarah.

Kesan Bagi Sesiapa Yang Bersetubuh Di Siang Hari Ramadhan

Sesiapa yang bersama dengan pasangannya di siang hari bulan Ramadhan, maka kesan dari perbuatan tersebut adalah:

Pertama: Puasanya batal dan wajib qadha (ganti) ke atas keduanya. Ini kerana perbuatan bersetubuh dengan isteri di siang hari bulan Ramadhan termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa. Ia berdasarkan sabda Nabi S.A.W:

وَصُمْ يَوْمًا مَكَانَهُ

Maksudnya: Dan berpuasalah pada hari yang lain menggantikan hari tersebut.

Riwayat Ibn Majah (1671)

Kedua: Sesiapa yang bersama dengan isterinya di siang hari bulan Ramadhan maka dia dikenakan kaffarah seperti berikut secara tartib (mengikut urutan):

  • Membebaskan seorang hamba.
  • Berpuasa dua bulan berturut-turut.
  • Memberi makan kepada 60 orang miskin.

Akhir kalam, semoga penjelasan ini sedikit sebanyak dapat memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami isu ini. 

Rujukan:

Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan || www.darulnuman.com

One Reply to “Hukum Bersetubuh Di Siang Hari Bulan Ramadhan? Ramai Suami Isteri Masih Keliru.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge