PKPB

KKM Cadang Prosedur Operasi Standard (SOP) Diperketatkan di Kawasan PKPB.

Semakin hari, angka kes baru Covid-19 yang dicatatkan di dalam Malaysia semakin membimbangkan. Kes makin meningkat seolah-olah tiada jalan penyelesaian. Turut menggambarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diamalkan tidak memberi impak yang besar.

Perketat SOP di Kawasan PKPB

Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan supaya SOP yang sedia ada diperketatkan di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata langkah itu bertujuan mengekang penularan COVID-19 dalam komuniti khususnya. Secara amnya sebagai jalan terbaik untuk elak penularan ke luar kawasan komuniti.

Mesej KKM ialah duduk di rumah dan kalau terpaksa keluar, perlu mematuhi SOP.

Pihak KKM akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai cadangan itu dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, KKM turut mencadangkan supaya memperketat lagi PKPB dan hanya membenarkan sektor ekonomi sahaja beroperasi.

Segala bentuk perhimpunan atau majlis keramaian melibatkan jumlah peserta yang besar perlu dikurangkan supaya penularan Covid-19 dapat diputuskan. Tangguhlah dahulu mana-mana aktiviti sebegini ke satu situasi yang lebih selamat.

Universiti, Sekolah Masih Ditutup

Pelaksanaan PKPB menyebabkan institusi pendidikan ditutup selain majikan diminta aktifkan pelan bekerja dari rumah dan penggiliran bagi pekerja mereka berkuat kuasa di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sejak 14 Oktober lalu selama 14 hari, sementara di Sabah bermula dari 12 hingga 26 Oktober ini.

Mesyuarat Khas MKN memutuskan pemilik dan pengusaha fasiliti sukan komersial dalam kawasan PKPB iaitu padang bola sepak komersial, gimnasium dan gelanggang futsal serta dewan badminton komersial dibenar beroperasi semula mulai 19 Oktober 2020.

Orang ramai dinasihatkan patuh SOP sepanjang masa termasuk pemakaian pelitup muka, kerap mencuci tangan serta mengelakkan perhimpunan.

Kes harian positif Covid-19 menyaksikan peningkatan mendadak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan tertinggi hari ini sebanyak 871 kes.

Sejak 1 Oktober, kes baharu positif Covid-19 melebihi 200 angka dengan pola pertambahan kes secara drastik.

Bagi empat hari kebelakangan ini, kes jangkitan harian meningkat secara konsisten dengan dua hari sebelum itu pada 13 dan 14 Oktober merekodkan 660 kes.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge