Pegawai PASPA APM Kongsi Pengalaman Pilu Kutip Cebisan Mangsa Tragedi Elmina
17 Ogos 2023, kira-kira jam 2.50 petang, sebuah jet persendirian Beechcraft Premier I dengan nombor pendaftarah N28JV terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam berhampiran susur Lebuhraya Guthrie dua minit sebelum dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS) Subang.
Dalam nahas itu, 10 disahkan maut membabitkan lapan dalam pesawat berkenaan manakala dua lagi orang awam yang sedang melalui kawasan nahas. Seorang orang awam yang maut adalah penunggang motosikal yang juga penghantar p-hailing berusia 32 tahun manakala seorang lagi adalah pemandu kereta e-hailing berusia 53 tahun.
Punca Beechcraft Model 390 (Premier 1) Terhempas.
Hilang kawalan, muatan tidak stabil, kerosakan satu enjin atau kegagalan sistem teknikal antara punca menyebabkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas.
Hal itu juga mungkin menyebabkan juruterbang tidak menghantar sebarang isyarat kecemasan sebelum pesawat terhempas, sekali gus memberi gambaran nahas berlaku secara mendadak.
Bekas ketua juruterbang Serantau MAS (Malaysia Airlines), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain, berkata faktor ‘windshear’ atau perubahan mendadak arah angin yang menyebabkan pertambahan beban struktur dinamik pada pesawat juga sangat tipis berlaku.
Pesawat terhempas dua minit selepas dapat kebenaran mendarat dan secara lumrahnya kebenaran itu diberi dalam tujuh hingga 10 kilometer dari landasan.
Pengalaman Pilu Pasukan Penyelamat
“Tidak dapat digambarkan perasaan ketika itu melihat keadaan mayat dan cebisan tubuh berselerakan di lokasi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam. Malah, ketika proses mengeluarkan mayat ada isi kulit terlekat pada pesawat serta kereta pemandu e-hailing terbabit,” ujar Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik, Muhammad Hazrin Zulkifli.
Berkongsi pengalaman dalam operasi memadam dan mencari mangsa terkorban pesawat terhempas Khamis lalu, beliau yang tiba awal di lokasi nahas memaklumkan melihat dua tompokan api iaitu di tepi pembahagi jalan membabitkan mangsa penunggang motosikal dan satu lagi tompokan api di tepi jalan lokasi pesawat itu terhempas.
Malah menurutnya, pasukan bomba turut mengalami kesukaran ketika proses pemadaman api yang marak dan perlu berhati-hati mengeluarkan mayat bagi mengelakkan kulit mangsa yang melekat tertanggal.
“Walaupun sebak dan tragis melihat kejadian itu, namun berbekal ilmu, pegawai dan anggota penyelamat bomba terpaksa mengawal perasaan ketika menjalankan operasi itu.
“Paling tidak dilupakan dan agak rumit untuk mengeluarkan mayat yang mengambil masa agak lama membabitkan mayat pemandu e-hailing dan seorang lelaki yang berada di dalam pesawat.
Muhammad Hazrin berkata, kedudukan mayat 10 mangsa yang terkorban ketika itu amat menyayat hati.
“Ada dua mangsa tercampak di luar pagar di tepi jalan, satu di tepi pagar dan lain-lain berhampiran pagar.
“Ada mayat yang tidak sempurna ketika diangkat sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa. Selain itu, agak mencabar apabila kami perlu membuat penandaan 200 cebisan mayat yang berselerakan di lokasi dan penuh dengan bendera sebelum dikutip satu persatu dan dimasukkan dalam plastik untuk dianalisa,” katanya.
Beliau berkata, mujur ketika itu, pelekat cukai jalan kereta pemandu e-hailing terbabit tidak terjejas dan sebaik menemuinya terus diserahkan kepada polis untuk mengesan identiti pemilik dan menghubungi waris.
“Jika tidak sudah tentu ia akan mengambil masa untuk mengenal pastinya kerana kereta itu rosak sepenuhnya,” katanya.
Lima Hari Sudah Berlalu…
“Lima hari sudah berlalu, namun memori menyayat hati ketika mengutip satu persatu cebisan mayat mangsa di lokasi pesawat terhempas masih terus ‘melekat’ di fikiran,” kata Pegawai Operasi, Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kang Wei Xian.
Menurutnya, dia antara individu yang terbabit dalam operasi khas bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Unit Polis Forensik dan Unit Forensik Kementerian Kesihatan sejak Khamis lalu.
“Seramai 10 anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam mula diaktifkan untuk melakukan kerja mencari dan menyelamat mangsa nahas pada jam 3.15 petang Khamis lalu iaitu sejurus pesawat Beechcraft Premier 1 itu terhempas dan meletup.
“Selain itu, APM Selangor juga menghantar 13 anggota dari Daerah Klang dan Petaling bagi membantu operasi berkenaan. Pos Kawalan Tempat Kejadian (APM) turut dibuka di tapak nahas,” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, tugasan utama APM membantu pihak polis Forensik dan pegawai Forensik Kementerian Kesihatan mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian.
“Sebagai pegawai operasi PASPA, tugasan utama saya adalah menyelaraskan kerja mencari dan menjejaki mengikut protokol DVI (pengecaman mangsa bencana) ditetapkan.
“Selain itu, saya juga adalah Liason Officer (pegawai perhubungan) antara Ground Zero dan juga Pusat Kawalan Operasi Pusat (PKOP). Malah pada hari kejadian, saya turut terbabit dalam tugasan mengumpul dan mengutip cebisan mayat mangsa.
“Perasaan sedih sukar digambarkan ketika melihat ada mayat mangsa yang terbakar teruk. Kebanyakan mayat mangsa berada dalam keadaan tidak sempurna,” katanya.
Menurutnya, mereka cuba sedaya upaya mencari semua cebisan mayat mangsa yang terdapat di Ground Zero sebelum menyerahkannya kepada Forensik KKM.
“Walaupun semua 10 mangsa sudah meninggal dunia, apa yang kami lakukan ini dianggap penghormatan terakhir kepada semua mereka.
“Sukar digambarkan detik-detik akhir mangsa sebelum pesawat itu menjunam dalam kelajuan tinggi dan terhempas ke bumi. Situasi di Ground Zero dipenuhi bangkai pesawat yang hancur sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, situasi menyayat hati di tapak nahas pesawat itu membuat dia dan anggota APM lain amat bersimpati kepada mangsa dan ahli keluarga mereka.
Salam Takziah
Al-Fatihah kepada semua mangsa tragedi pesawat terhempas di Elmina.
Kru pesawat
Shahrul Kamal bin Roslan
Heikal Aras bin Abdul Azim
Penumpang
Datuk Seri Johari Harun – EXCO Pahang, ADUN Pelangai
Kharil Azwan Jamaludin
Shaharul Amir Omar
Naim Fawwaz Mohamed Muaidi
Muhammad Taufiq Mohd Zaki
Idris Abdol Talib Ramali
Orang awam
1. Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, (penunggang penghantar p-hailing)
2. Sharipuddin Shaari, 53, (pemandu grab)