
Sebab Staf J&T Baling Barang Pelanggan Macam Tu Je..
Semalam, tular video pekerja syarikat kurier pilihan No.1 rakyat Malaysia sedang membaling barang kiriman pelanggan. Video yang tular dikatakan dirakam di salah satu hub syarikat kurier J&T.
Sebelum ini juga, kami pernah berkongsi cara mudah menghantar barang menggunakan servis mereka.
Video Staf J&T Campak Barang
Nak mengadu pergi lah pejabat buruh, jangan lah campak barang customers 😢😢 pic.twitter.com/rOEW1krG3H
— 𝒊𝒎 (@imrannazri__) February 6, 2021
Dalam rakaman Video yang tular sejak semalam itu, sekumpulan pekerja syarikat kurier bertindak membaling barangan kiriman pelanggan.
Perlakuan yang tidak beretika oleh pekerja mereka disambut teriakan sokongan beberapa pekerja lain seolah-olah meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pengurusan syarikat.
Pekerja syarikat J&T ini dikatakan tidak berpuas hati kerana komisen rider/runner ditolak sehingga 70%. Mereka juga dikerah melakukan kerja lebih masa sehingga lewat malam tanpa dibayar elaun tambahan.

Sedia maklum, sejak perlaksanaan PKP pertama pada tahun lepas, syarikat ini menerima pesanan untuk penghantaran barangan dalam kuantiti melebihi biasa.
Namun, isu seterusnya timbul apabila lambakan barang tidak dapat dihantar dalam masa yang singkat. Lambakan barangan tidak dapat dihantar berikutan kekurangan pekerja yang dikatakan mogok dan tidak berpuas hati dengan potongan komisen.
Pelanggan Jadi Mangsa
Isu pemotongan gaji atau komisen adalah masalah utama yang sedang dihadapi oleh kebanyakan pekerja makan gaji hari ini. Sedia maklum, banyak syarikat sedang bergelut dengan tahap kewangan yang makin merosot akibat pandemik Covid-19.
Namun, tindakan pekerja J&T yang mengendalikan barangan kiriman pelanggan dengan cara yang tidak sepatutnya bukanlah satu tindakan yang betul. Walaupun hanya untuk meluahkan rasa tidak puas hati akibat komisyen atau gaji mereka dipotong.
Mereka sepatutnya lebih matang dengan berjumpa atau berbincang dengan pengurusan tentang isu yang dihadapi. Bukan dengan menjadikan pelanggan yang menggunakan perkhidmatan J&T sebagai mangsa!
Reaksi Netizen Terhadap Video Baling Barang Staf J&T
Susulan video yang tular, majoriti netizen meluahkan pelbagai reaksi. Antaranya, dari kaca mata orang luar, tindakan kakitangan syarikat ini membaling barangan pelanggan disifatkan sebagai tidak wajar sama sekali.
Kronik juga masalah J&T ni ya 🤔 pic.twitter.com/utETy3PXOj
— Pakcik 2 #RakyatJagaRakyat (@JalalMisai_2) February 6, 2021
Hukuman Penjara Terhadap Pekerja Kurier
Kami ingin kongsikan di sini, tindakan dengan niat jahat dengan melupuskan atau memusnakan, membuka, menyimpan, menahan atau menyembunyikan, melengahkan, mengabaikan atau salah serahan, mengusik atau menghalang mana-mana barang pos dalam perjalanan penyalurannya boleh dikenakan denda dan hukuman penjara.

Apa Tindakan Yang Sepatutnya Pekerja Kurier Ambil Bila Rasa Ditindas?
Pekerja yang matang dan bijak tidak akan melakukan perbuatan tidak beretika seperti mencampak barang pelanggan atau merosakkannya. Pekerja yang berasa diri mereka ditindas akibat dipotong gaji atau komisen sepatutnya:
- Berbincang dan bersemuka dengan pihak atasan pengurusan
- buat aduan di Pejabat Buruh
- cari kerja lain & letak jawatan.
Sehingga ke saat ini, di laman rasmi Facebook syarikat J&T, tiada muat naik terkini tentang ini. Hanya sekadar satu muat naik dibuat pada tarikh 5 Februari yang menyatakan tentang hal operasi mereka pada Tahun Baru Cina dan juga hal kelewatan penghantaran.
Jadilah Pekerja Yang Lebih Matang dan Bertanggungjawab

Kami berharap, semua pihak lebih matang dalam mengendalikan hal ini. Kerjasama daripada pihak penjual, pembelian, syarikat penghantaran, rider/runner amat diperlukan hari ini bagi memastikan industri e-commerce dapat terus berkembang maju di negara kita.
Jika semua syarikat penghantaran berhadapan dengan masalah ini, adakah para pembeli rasa percaya & selamat membeli menggunakan platform atas talian? Fikir-fikirkan~lah!
